Cakna Perubahan Iklim Negara, Elak Tragedi Hitam Berulang | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Cakna perubahan iklim negara, elak tragedi hitam berulang

Cakna perubahan iklim negara, elak tragedi hitam berulang

Article Summary
Arahan penutupan tempat-tempat perkelahan dan perkhemahan seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali ibarat sudah kalah baru hendak berkubu. Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila tapak-tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian tersebut dikenal pasti tidak berlesen dan telah beroperasi secara haram sejak tahun 2020.


Arahan penutupan tempat-tempat perkelahan dan perkhemahan seluruh negara susulan tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali ibarat sudah kalah baru hendak berkubu. Apa yang lebih mengejutkan adalah apabila tapak-tapak perkhemahan yang terbabit dalam kejadian tersebut dikenal pasti tidak berlesen dan telah beroperasi secara haram sejak tahun 2020.

Apakah selama dua tahun ini langsung tidak ada mana-mana pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan mengikut garis panduan yang ditetapkan? Kejadian ini juga dilaporkan tanah runtuh besar yang ke-23 dalam tahun ini sahaja dan yang terburuk setakat ini.

Contoh lain yang juga jelas menunjukkan kekhilafan pihak berkuasa adalah insiden pencemaran Sungai Kim-Kim akibat pembuangan sisa kimia yang sudah berlaku sejak beberapa tahun sebelum berlakunya gelombang keracunan air yang lebih teruk pada tahun 2019, menurut penduduk tempatan. Kejadian ini telah memberi kesan kepada hampir 6,000 orang dan sehingga kini dilaporkan masih mengalami kesan sampingan akibat peristiwa tersebut.

Sama juga seperti bencana banjir yang menenggelami Taman Sri Muda pada hujung tahun lalu yang mana hanya selepas kehilangan beberapa nyawa dan kerugian mencecah jutaan ringgit didapati bahawa pihak berkuasa sudah lama tahu kawasan tersebut berpotensi untuk dilanda banjir. Penduduk Taman Sri Muda turut mendakwa aduan sudah dihantar beberapa kali untuk meneliti situasi di kawasan yang kerap kali mengalami banjir namun tidak ada sebarang maklum balas dan tindakan diambil untuk mencari jalan penyelesaian.

Ini tidak termasuk isu penggondolan bukit-bukit dan pengecilan hutan-hutan simpan yang sehingga kini bukan hanya masih mengancam flora dan fauna tetapi kehidupan komuniti Orang Asli yang sudah lama menetap dan bergantung kepada hasil bumi sebagai “periuk nasi” mereka. Semua ini menunjukkan tidak lain tidak bukan tetapi kelemahan sistem penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar dan kesedaran rakyat Malaysia khususnya pihak berkuasa.

Bencana alam bukan hanya menjejaskan kualiti kehidupan terutama golongan masyarakat yang tidak langsung menyumbang kepada berlakunya kejadian-kejadian buruk ini termasuk komuniti terpinggir seperti golongan miskin, kanak-kanak dan belia, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan komuniti Orang Asli tetapi turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara ini.

Proses pemulihan ekonomi selepas berlakunya sesuatu bencana adalah sangat membebankan negara termasuklah pembinaan dan penggantian aset-aset yang musnah dan mendirikan semula sektor ekonomi di kawasan yang terbabit terutamanya sebagai sebuah negara yang masih sedang membangun seperti Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa bencana alam juga merupakan fenomena yang berlaku kerana faktor semula jadi seperti banjir yang sedang melanda beberapa negeri kini yang disebabkan oleh luruan monsoon, fenomena La Nina dan perubahan sistem iklim.

Laporan Penilaian Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) juga menjangkakan impak perubahan iklim yang lebih agresif dalam 20 tahun akan datang seperti bencana alam yang lebih kerap dan ekstrem, kekurangan sumber air akibat peningkatan suhu yang mendadak, kemusnahan yang berganda akibat banjir dan peningkatan kadar kepupusan spesies haiwan dan tumbuhan yang memberi kesan langsung kepada sosioekonomi masyarakat sekiranya tindakan yang efisien tidak diambil dengan kadar segera.

Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat juga harus dipergiatkan bukan hanya untuk mengetahui kesan dan akibat berlakunya perubahan iklim tetapi juga peranan dan tindakan yang boleh diambil oleh mereka sebagai seorang individu. Proses ini sebaiknya bermula melalui pendidikan formal agar kesedaran dapat dipupuk sejak di bangku persekolahan lagi.

Misalnya dengan meneliti semula dan mengemaskini kandungan kurikulum kebangsaan supaya dapat menambah lebih banyak elemen perlindungan alam sekitar yang berfokuskan kepada naratif tempatan, tadbir urus perubahan iklim termasuk proses pembuatan dasar dan kaedah pelaksanaan serta menekankan aspek kerjasama di antara pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta di pelbagai peringkat.

Elakkan daripada melakukan sebarang aktiviti rekreasi atau berada di kawasan empangan, gunung, sungai dan pantai. Rancanglah perjalanan terlebih dahulu dengan merujuk ramalan cuaca yang terkini oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Selain itu, berhati-hati semasa mengendalikan peralatan elektrik, jimatkan penggunaan air dan jaga kebersihan diri. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir, sediakan bekalan makanan, air dan pakaian yang mencukupi, selamatkan barang-barang yang penting sahaja sekiranya berlaku banjir. Teruskan berdoa untuk kesejahteraan semua dan semoga kita dapat mengharungi fasa mencabar ini bersama.

Seterusnya, saya amat berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula pengisytiharan “Darurat Iklim” sebagai tanda komitmen kerajaan yang tinggi dalam usaha untuk menangani isu perubahan iklim. Langkah ini akan membantu untuk merancang dan memberi keutamaan khususnya dalam melaksanakan pelan tindakan iklim dengan lebih berstruktur, menyeluruh dan efisien terutamanya bagi mengurangkan perlepasan gas rumah hijau (GHG), membendung pemanasan global antropogenik dan menghijaukan sektor ekonomi.

 

Mogesh Sababathy
Aktivis Belia Alam Sekitar
Pengasas Bersama Project Ocean Hope
Pelajar Ijazah Kedoktoran, Universiti Putra Malaysia (UPM) 

+60194441998

[email protected]

Date of Input: 21/12/2022 | Updated: 21/12/2022 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/19:11:19:36~noCache