Modenisasi Bahasa Melayu Perlu Kekal Kualiti | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Modenisasi Bahasa Melayu perlu kekal kualiti

Modenisasi Bahasa Melayu perlu kekal kualiti

Article Summary
“Hilang bahasa, lenyaplah bangsa” merupakan pepatah Melayu yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan agama di Malaysia. Namun, tiada guna sekadar mengungkapkannya di titi bibir tanpa penghayatan erti tersirat di sebalik pepatah lapuk tersebut.


Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM 

 

“Hilang bahasa, lenyaplah bangsa” merupakan pepatah Melayu yang tidak asing lagi dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa, budaya dan agama di Malaysia. Namun, tiada guna sekadar mengungkapkannya di titi bibir tanpa penghayatan erti tersirat di sebalik pepatah lapuk tersebut.

Sudah 66 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, tetapi realiti pahit yang terpaksa ditelan ialah masih banyak warganegara Malaysia yang tidak fasih, bahkan tidak tahu menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik.

Di samping berperanan sebagai alat komunikasi, bahasa merupakan alat pembentukan jati diri nasional yang mencerminkan sejarah, nilai dan warisan budaya masyarakat penutur jatinya. Apabila bahasa sesuatu bangsa mulai hilang dan terpinggir, maka akan terancamlah jati diri budaya bangsa tersebut.

Ungkapan “hilang bahasa, lenyaplah bangsa” jelas menggambarkan signifikan pemeliharaan bahasa sebagai salah satu usaha jitu dalam mengekalkan jati diri sesuatu bangsa, termasuklah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu bangsa Malaysia.

Dalam era globalisasi ini, kewujudan media telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan manusia. Media sosial dikatakan telah banyak mengubah dunia kini kerana mempunyai kuasa sosial yang dapat mempengaruhi pendapat umum yang berkembang dalam masyarakat, dan terbukti mampu membentuk pendapat, sikap dan tingkah laku masyarakat.

Seiring dengan perkembangan zaman, kehadiran media sosial yang semakin pelbagai dan berkembang telah membantu memudahkan urusan manusia dalam segenap hal. Lebih-lebih lagi dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), dan ini signifikan dengan peranan media sosial sebagai medium perantaraan manusia tanpa sempadan dan batas waktu.

Sebagai saluran hiburan dan komunikasi, media sosial juga merupakan saluran pendidikan, termasuklah dalam kegiatan pengajaran dan pembelajaran bahasa serta kesedaran dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Contohnya, medium TikTok yang digunakan oleh pempengaruh (influencer) ‘Zack Kirana’ atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim, sebagai medium pembelajaran bahasa Melayu yang betul, khususnya dari segi ejaan.

Meskipun kekacauan bahasa disedari oleh segelintir masyarakat dengan menjadikan media sosial sebagai medium pengajaran dan pembelajaran bahasa, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memiliki pengaruh besar terhadap perkembangan bahasa. Ini demikian kerana pemodenan bahasa kian berleluasa khususnya dalam kalangan remaja yang mendominasi penggunaan media sosial.

Modenisasi bahasa diyakini penting untuk memastikan bahawa bahasa tetap relevan dan dapat digunakan secara efektif dalam menyampaikan gagasan dan proses komunikasi dalam konteks global.

Tanpa kita sedari, fenomena modenisasi bahasa ini merupakan ancaman besar terhadap bahasa Melayu dan bangsa Malaysia sendiri apabila integriti bahasa digadaikan atas nama kemajuan.

Penggunaan bahasa yang ringkas, mudah difahami dan pendek (bahasa singkatan), selari dengan aliran zaman pada masa ini, lebih digemari dan kian mendominasi sistem bahasa golongan masyarakat, khususnya dalam media sosial berbanding dengan penggunaan bahasa standard dengan sistem yang perlu dipatuhi. Misalnya, kata ‘ntah’ (entah), ‘pape’ (apa-apa), ‘takde’ (takda/tidak ada), ‘dgn’ (dengan), ‘pegi’ (pergi), dan ‘pulak’ (pula).

Bukan itu sahaja, golongan remaja turut menggunakan istilah baharu dalam percakapan kini untuk makna tertentu. Misalnya, kata ‘kacang’ (mudah), ‘jambu’ (lembut), ‘lu’ (awak/engkau) dan ‘gua’ (saya/aku).

Menurut Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Che Ibrahim Salleh berkata, golongan remaja pada umumnya memang tidak menggunakan bahasa yang betul dalam kegiatan berbahasa. Kerana itulah golongan remaja memerlukan bimbingan, khususnya melalui kegiatan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Tambah beliau, golongan tenaga pengajar sendiri hendaklah tahu bahawa sebagai guru, mereka dituntut untuk menggunakan bahasa formal dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Golongan remaja lebih mudah diajar dan dibentuk di bangku sekolah. Dalam bilik darjah, murid akan melihat gurunya. Guru hendaklah mengawal perlakuan dan penggunaan bahasanya kerana guru akan menjadi ikutan.

Bahasa slanga merupakan bahasa pertuturan yang digunakan oleh masyarakat dalam kehidupan sehari-hari. Namun begitu, hal ini menjadi suatu kebimbangan apabila penggunaannya dalam kegiatan komunikasi menjadi tabiat yang dianggap biasa serta sudah sebati dalam jiwa masyarakat.

Dr. Che Ibrahim Salleh berkata, sesuatu yang dianggap sebagai kebiasaan tidak bermakna betul, termasuklah dalam kegiatan berbahasa.

Segelintir masyarakat beranggapan bahawa perkembangan bahasa yang berlaku pada masa ini sebagai sesuatu yang kreatif. Namun begitu, rata-rata masyarakat tidak mengendahkan dampak kekacauan bahasa ini terhadap kredibiliti bahasa Melayu dan nasib bahasa kebangsaan pada masa hadapan.

Penggunaan bahasa yang tidak betul, teratur dan sistematik, serta sifat bahasa yang ringkas dan hanya mementingkan unsur faham-memahami (mutual intelligibility) mampu melunturkan kemurnian dan keaslian bahasa Melayu.

Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu mengalami proses modenisasi melalui pengaruh yang signifikan dari perkataan atau istilah yang berasal dari bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris.

Dampak daripada peminjaman istilah asing ini ialah ketidaksedaran terhadap penggunaan kata-kata asli bahasa Melayu dan penyusutan peluang bagi keberlangsungan warisan bahasa dan budaya Malaysia. Penggunaan kata asing yang berlebihan atau yang diambil secara terus daripada bahasa asing boleh mengakibatkan hilangnya ciri dan jati diri Melayu sebagai bahasa yang kaya dan indah.

Modenisasi bahasa mampu membatasi kemampuan bahasa Melayu untuk mengungkap konsep lokal. Jika bahasa Melayu terlalu dipengaruhi oleh bahasa asing, maka kemampuan bahasa Melayu untuk mencerminkan aspek budaya, tradisi dan nilai-nilai lokal yang unik akan berkurangan.

Dr. Che Ibrahim Salleh berkata, pengambilan dan peminjaman istilah daripada bahasa lain adalah perlu dan boleh sahaja berlaku disebabkan arus globalisasi kini. Itu dikatakan sebagai proses pengayaan bahasa. Kita juga tidak boleh menutup peluang untuk mengambil istilah daripada bahasa lain, terutamanya istilah sains dan teknologi.

Tambah beliau, pada masa yang sama, kita perlu memperkenalkan semula istilah-istilah lama yang memang sudah ada dalam bahasa Melayu. Misalnya, perkataan ‘andal’ (boleh dipercayai) dan ‘citra’ (gambar/imej). Istilah lama ini dilihat banyak positifnya dari sudut makna.

Usaha menjaga dan mempromosikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan benar, serta memperkaya kosa kata dan konsep lokal yang mencerminkan kekayaan budaya bangsa Malaysia amat penting dilestarikan. Hal ini akan membantu mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu sebagai jati diri nasional yang kuat dan meningkatkan pemahaman budaya serta komunikasi antara masyarakat Malaysia.

Bahasa merupakan suatu sistem yang sentiasa mengalami perubahan dan terus berkembang dari masa ke masa. Pemodenan dan perubahan sosial ialah bahagian semula jadi dalam evolusi bahasa. Bagaimanapun, adalah penting untuk memastikan bahawa bahasa kekal berkesan sebagai alat komunikasi dan masyarakat secara amnya memahami dan mematuhi peraturan dan norma bahasa yang digunakan.

Sekiranya bangsa kita sendiri tidak berasa megah dalam menggunakan bahasa kebangsaan yang betul, maka lama-kelamaan fungsi dan peranannya bakal terhakis dan pupus akhirnya.

Bahasa Melayu tidak seharusnya dipinggirkan atas nama kemajuan negara semata-mata. Perlu diingat bahawa bahasa dalam pembinaan peradaban baharu pada abad ini berperanan penting dalam meningkatkan maruah dan kecemerlangan budaya bangsa.

Date of Input: 11/09/2023 | Updated: 11/09/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/19:11:33:37~noCache