WSO Iktiraf HSAAS UPM Sebagai Pusat Strok Utama Di Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » WSO iktiraf HSAAS UPM sebagai pusat strok utama di Malaysia

WSO iktiraf HSAAS UPM sebagai pusat strok utama di Malaysia

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

 

SERDANG, 25 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Jabatan Neurologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) telah menerima Penghargaan Akreditasi daripada World Stroke Organisation (WSO) serta diiktiraf sebagai pusat strok utama bersama Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), UKM di Malaysia. 

 

 

 

Pengarah HSAAS, UPM, Prof. Dr. Hamidon Basri berkata, penyakit strok merupakan penyakit ketiga teratas dalam konteks kematian di Malaysia dan kebanyakan pesakit kami adalah golongan muda tetapi segelintir pesakit mengalami kecacatan.

 

“Dengan kadar peningkatan pesakit strok di negara, keperluan dan kemahiran pakar dalam bidang ini di hospital awam perlu ditingkatkan untuk membantu mengembangkan pengetahuan berkaitan strok serta memberi rawatan yang berkualiti kepada pesakit,” katanya. 

 

Ketua Program, Prof. Madya Dr. Abdul Hanif Khan berkata, dalam mencapai pengiktirafan ini, terdapat beberapa kriteria yang perlu ada di satu hospital dan HSAAS menepati semua kualiti diperlukan sebagai ‘Advance Stroke Center’.

 

“Usaha berterusan yang kami lakukan adalah merawat pesakit strok ini perlu pantas, kerana apabila pesakit datang, kami perlu bertindak dengan cepat dan perkara itu juga dilihat oleh WSO.

 

“Apa yang kami jangka pada masa yang akan datang melalui pengiktirafan ini ialah hospital-hospital lain dalam negara turut mempunyai pusat strok supaya memudahkan pesakit untuk menjalani rawatan,” katanya.

 

Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan dari Unit Kecemasan Strok RESQ (Regional Emergency Stroke Quick Response), UPM, Dr. Iskasymar Itam @ Ismail berkata, tugas utama RESQ ialah sebagai pasukan pelbagai disiplin perubatan yang boleh merawat penyakit akut berpunca dari strok untuk mencapai penghasilan yang baik.

 

“Ada beberapa cara untuk mempercepatkan proses rawatan, salah satunya ialah dengan menggunakan teknologi ICT yang paling mudah untuk memaklumkan kepada pasukan adanya pesakit strok bagi memudahkan proses yang berikutnya.

 

 

 

“Dengan wujudnya RESQ, kita memberi pilihan kepada pesakit serta memudahkan mereka untuk menjalani rawatan tersebut dan kami juga menerima pesakit dari negeri lain kerana rawatan yang sedia ada,” katanya.

 

Dalam pada itu, HSAAS UPM turut menganjurkan Sambutan Hari Strok Sedunia 2024 untuk memberi maklumat yang komprehensif tentang langkah-langkah pencegahan, rawatan strok, pendedahan pengesanan awal dan pengurusan risiko strok demi kesejahteraan masyarakat.



Date of Input: 29/10/2024 | Updated: 29/10/2024 | aghniya

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/19:7:23:19~noCache